Kehidupan Akhirat

 Hari akhirat adalah sebagai membuktikan bahawa Allah Maha Adil dan bersifat belas kasihan. Allah mencipta manusia dan menjadikan manusia bertanggungjawab atas semua tindak-tanduknya. Ada manusia yang berkelakuan baik dan ada yang tidak.

Di bumi orang yang baik dan bersifat luhur sering menghadapi kecelakaan dan kesusahan, manakala yang zalim seolah-olah baik dan dibiarkan bermaharajalela. Orang yang tidak bersalah sering sahaja menderita akibat tangan-tangan pengeksplotasi dan penjenayah, yang seolah-olah tidak peduli tentang erti dosa dan rasa bersalah.

Jika tidak disediakan kehidupan hari akhirat di mana orang-orang yang jahat dan zalim akan diberi balasan, dan orang-orang yang baik dan luhur diberi ganjaran maka tidaklah ada keadilan. Tidak adalah gunanya manusia dijadikan dan dipertanggungjawabkan, dilantik pula nabi-nabi bagi mengingatkan manusia tentang tanggungjawab ini. Lihat firman Allah, Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab neraka (as-Saad, 38: 27), dan Patutkah Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi? Atau patutkah Kami jadikan orang-orang yang bertaqwa sama seperti orang-orang yang berdosa? (as-Saad, 38, 28)

Hari akhirat diperlukan bagi menjalankan keadilan dan kesak-samaan. Hari akhirat juga diperlukan bagi membuktikan tujuan sebenar kehidupan, biar manusia melihat sendiri dengan bukti nyata apakah yang mereka lakukan dan usahakan.

Setiap niat akan ditunjukkan dengan jelas: yang baik akan kelihatan baik, tetapi yang bersalutkan motif yang tidak ikhlas juga akan didedahkan. Hal ini tidak siapa pun mengetahuinya ketika hidup di dunia. Misalnya di dunia, percakapannya seperti sangat bersimpati tetapi niat dalam hatinya adalah bertujuan mengutuk atau apa sahaja.

Semua isu dan pertikaian yang ditimbulkan ketika di dunia, perbezaan worldview antara sesama manusia, dan perbezaan keper-cayaan akan diselesaikan di akhirat. Di sana kelak akan ditentukan yang mana betul dan yang mana salah. Dalam al-Quran hari akhirat disebut sebagai hari kebenaran dan hari keputusan. Di sanalah nanti semua penipuan atau ghurur, manipulasi, penindasan akan didedahkan di depan mata kepala anda sendiri.

Kesedaran tentang kebenaran hari akhirat ini diharap boleh memberi kesan ke atas sikap, emosi, dan tindakan ketika menjalani kehidupan di dunia. Ianya boleh memberi makna yang mendalam erti tujuan hidup. Misalnya anda tidak akan menjadi seorang yang memandang kehidupan duniawi dan ketamakan diri sendiri sahaja. Dengan maksud lain, anda tidak akan menjadi seorang yang terlalu gilakan kehidupan duniawi yang materislistik kerana anda tahu hidup ini tidak akan berakhir dengan kematian sahaja.

Hasilnya anda akan mempunyai kehidupan di mana emosi dan psikologi seimbang. Anda akan menjadi seorang yang berupaya menghadapi cabaran, kesukaran dan ujian kerana anda mempunyai keyakinan terhadap keadilan Tuhan Pencipta Hari Akhirat. Anda tidak akan merasa terlalu resah, sedih, takut dan kecewa setiap kali menghadapi ujian dari orang-orang yang melakukan kedurjanaan, ketidakadilan, manipulasi dan sebagainya. Anda rasa segala kebejatan ini tidak akan menjadi kudis sedikitpun.

Anda akan mempunyai tekad bukan sahaja untuk mengelak-kan perbuatan-perbuatan buruk, menjijikkan dan jenayah tetapi sebaliknya anda akan menjadi seorang yang mampu menggunakan segala sumber untuk berbuat baik seperti yang disebut oleh satu ayat dalam al-Quran, Dialah yang mencipta kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah antara kamu yang terbaik kelakuannya.

Dengan demikian adalah sangat wajar dan perlu diujudkan hari akhirat. Bagaimanakah hari akhirat ini adalah suatu yang pasti.

Bagi sesetengah orang memang percaya adanya Tuhan namun mereka seperti tidak mahu menerima bagaimana mayat yang sudah reput boleh dibangkitkan semula, dan diambil kira segala tindakan mereka di bumi. Orang Quraisy yang sekular, dan juga mereka yang mempunyai kepercayaan yang kurang jelas tentang kewujudan Tuhan mendapati sukar untuk menerima hakikat hari kebangkitan. Hal ini disebut oleh ayat 78 surah Yaasin, Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: ‘Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?’

Al-Quran menceritakan tentang seseorang yang melalui sebuah bandar tinggalan, yang rumah kediamannya telah hancur rosak dan penduduknya telah mati dan dikebumikan. Orang itu bertanya, Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? (al-Baqarah, 2: 259).

Al-Quran juga menceritakan, Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh (sambil berkata): ‘Allah tidak akan membangkitkan semula orang-orang yang telah mati’. (an-Nahl, 16: 38). Namun Allah memberi tahu orang yang bersumpah itu, seperti yang disebut dalam ayat yang sama, (Itu tidak benar), bahkan janji Allah membangkitkan orang-orang yang telah mati) tetap benar; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Orang itu menolak hakikat kebangkitan semula manusia yang telah mati itu sebenarnya adalah kerana sikap materialistik mereka terhadap kehidupan. Bagi mereka semua kebenaran haruslah yang dapat dilihat, dirasa, didengar, sepertimana sesuatu objek.

Al-Quran mengingatkan orang-orang yang masih bingung dengan hari kebangkitan supaya tidak terkejut kerana hari kebang-kitan semula bukan sahaja logik tetapi adalah kebangkitan yang fizikal. Jika Allah berkuasa mencipta manusia dari tiada menjadi ada (ayat 5 surah Hajj), apa sangatlah jika dikatakan Allah juga berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati (ayat 6 dan 7 surah Hajj).

Apakah mereka tidak pernah mendengar tentang teknologi klon, di mana manusia boleh menghidupkan DNA kambing yang diambil dari tulang kambing yang telah mati menjadi seekor anak kambing, walaupun anak kambing itu tidak boleh hidup lama. Justeru apa sangatlah bagi Pencipta untuk menghidupkan semula orang yang telah mati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan