Sebaik-baik Manusia

Rasulullah saw bersabda, Sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada orang lain, dan sejahat-jahat manusia adalah yang mendatangkan kerugian bagi orang lain.

Tentu anda setuju bahawa hadis ini bertepatan dengan konsep khalifah yang baru kita bincangkan: menggunakan apa jua kelebihan yang kita punyai untuk faedah buat orang lain. Jadi darjat sebaik-baik manusia adalah mereka yang berjaya meraih gelaran khalifah. (Lihat ayat-ayatnya di sini).

Kitab Mukasyafah al-Qulub mengaitkan kedudukan ini dengan ayat 110 ali-Imran yang ertinya, Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia.

Kitab ini juga menjelaskan mereka adalah umat yang mengutamakan umat-umat yang lain. Kalimah ukhrijat dalam ayat ini bermaksud dinampakkan kepada manusia, iaitu memberi manfaat dan kebaikan kepada manusia lain.

Sambungan ayat 110 itu menyebut, …(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…

Maksudnya, kitab ini menyebut, Ayat ini mengandungi penjelasan tentang kewujudan mereka sebagai yang terbaik selain kelebihan mereka yang tegak di atas sifat-sifat tersebut. (Mukasyafah al-Qulub, 180) Ini bererti bahawa antara sifat-sifat lain yang bersama dengan watak terbaik itu ialah sikap amar makruf nahi munkar yang disebut menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dengan kata lain ialah bahawa sesiapa yang bersikap amar makruf nahi munkar juga adalah termasuk ke dalam golongan sebaik-baik manusia. Hal ini disebut oleh hadis yang maksudnya, Barangsiapa yang menyuruh kebaikan dan mencegah kemunkaran, bererti ia adalah khalifah Allah swt, serta khalifah Kitab dan rasul-Nya di bumi (Mukasyafah al-Qulub, 181).

Pernah diriwayatkan bahawa Khuzaifah ra berkata, Akan datang suatu zaman kepada manusia ketika bangkai keldai lebih mereka sukai daripada orang Mukmin yang menyuruh mereka berbuat kebaikan dan mencegah mereka dari kemungkaran.

Pernah diriwayatkan juga bahawa Nabi Musa bertanya kepada Allah swt, Tuhanku, apakah balasan bagi orang yang mengajak saudaranya kepada kebenaran, menyuruhnya berbuat kebaikan dan mencegahnya dari kemungkaran? Allah swt menjawab, Untuk setiap kata-katanya Aku menuliskannya sebagai ibadah Sunnah untuknya dan Aku merasa malu untuk mengazabnya dengan api neraka.

Pendek kata, darjat sebaik-baik manusia itu diberikan kepada manusia yang wataknya sebagai khalifah iaitu mengutamakan faedah buat orang lain, dan manusia yang bersifat amar makruf nahi munkar kerana ini adalah risalah Kitab dan rasul-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan