Tujuan beribadah

Ramai tidak menyedari bahawa ibadah-ibadah kita ada maqasidnya atau tujuan yang Allah swt ingin kita mencapainya. Ia bukan sekadar ibadah ritual (kerohanian) sahaja, tetapi sebagai asas kehidupan keduniaan.

Ibadah sembahyang, zakat, puasa dan haji kita mempunyai rohnya yang mesti dihidupkan. Jika tidak ibadah kita hanya tinggal ibadah sebagai tanda keimanan semata-mata, menjadi ibadah adat sahaja, yang tidak mendapat rahmat Allah swt, Allah swt tidak menerimanya.

Malangnya ramai yang tidak menyedari perkara ini. Oleh sebab itu, ramai yang menunaikan sembahyang, zakat, puasa dan haji tanpa tujuan. Hal ini menyebabkan ibadahnya tidak memberi kesan dalam dirinya sekali gus menjadikan dirinya tidak terdidik oleh ibadahnya.

Maka ibadahnya hanya tinggal ibadah sebagai formality yang ritual sahaja.

Inilah yang terjadi dalam masyarakat kita. Daripada pemerhatian dan perbualan saya bersama rakan-rakan dalam kalangan agamawan, terbukti rata-rata umat Islam negara ini, termasuk yang bakal menjadi pendidik agama di sekolah-sekolah rendah dan menengah, golongan tua dan muda, golongan berpelajaran di bandar atau di luar bandar juga tidak menyedarinya.

Mereka bertanggapan ibadah tiada kaitannya dengan kehidupan seharian.

Saya pernah menguji sekumpulan pelatih bakal guru agama di sebuah maktab perguruan (ketika itu, yang sekarang digelar institusi perguruan).

Secara kebetulan ketika waktu rehat, perjalanan saya melalui kakilima terhalang oleh sekumpulan lima orang pelatih wanita, bakal guru agama yang sedang sembang. Lalu saya menegur mereka agar tidak membuat halangan di laluan, sambil menyebut satu hukum dalam bab sembahyang, Makruh sembahyang di laluan.

Saya agak terkejut kerana jawapan salah seorang daripada mereka adalah, Itu dalam sembahyangyang, encik. Itulah jawapannya. Saya sebagai tenaga pengajar di maktab berkenaan yang bukan dari kalangan ustaz digelar encik.

Jawapan itu menunjukkan mereka mengetahui hukum tersebut, tetapi bagi mereka itu tiada kaitannya dengan perlakuan mereka menghalang laluan berkenaan. Hal ini membuktikan wujudnya tanggapan bahawa ibadah itu ibadah, tiada kaitannya dengan kehidupan seharian.

Hakikatnya, sembahyang, zakat, puasa dan haji itu ada maqasidnya, ada tujuannya yang Allah swt ingin kita bapai. Dengan kata lain ibadah-ibadah kita adalah merupakan satu proses pendidikan ke arah pembantukan sahsiah dan keperibadian.

Namun pemikiran ini dilihat oleh rakan-rakan sebagai pemikiran seorang sufi. Saya yang tidak begitu mendalami fahaman sufi hanya diam dan akur sahaja apabila dianggap demikian.  Walau bagaimanapun, sama ada apa yang saya fikirkan itu adalah seperti fahaman sufi atau tidak, saya tetap yakin bahawa apa sahaja yang saya fikirkan ini adalah betul.

Label sufi tadi memberikan saya satu gambaran seolah-olah golongan sufi dilihat sebagai satu golongan elit agama yang terasing daripada masyarakat. Seolah-olah fahaman dan pegangan orang sufi itu bukan untuk orang awam seperti kita. Namun tanggapan saya tadi sudah menafikannya. Jika kita menerima tanggapan bahawa sesuatu ibadah itu ada tujuan maka golongan sufi ini adalah yang betul.

Pandangan mereka itu menerima idea bahawa setiap ibadah itu ada tujuannya, setiap pengajaran ilmu fiqh harus disertakan dengan ajaran-ajaran cari hidup. Mereka tidak membataskan pengajaran fiqh kepada hukum-hakam, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika sembahyang, haji dan lain-lain. Mereka melihat fiqh adalah praktikal.

Pengajaran fiqh mestilah dimasukkan sekali iktibarnya agar boleh dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan seharian. Tidak sepatutnya dipisahkan antara tujuan ritual dengan keduniaannya; kedua-duanya harus berjalan seiring.

Jadi sudah tiba masanya kita mengubah persepsi ini dengan membina satu tanggapan baru yang tidak lagi memisahkan antara golongan faqh dengan golongan sufi, selagi tidak menyimpang dari syariat dan Sunnah.

Kita dibenarkan mengambil qiyas selagi tidak menyimpang daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Hukum sembahyang yang tersebut di atas tadi misalnya, mengajar kita erti jangan membuat halangan di laluan. Inilah antara contoh qiyas yang terbit daripada hukum berkenaan. Itulah antara semangat atau roh sembahyang kita yang lahir dari satu hukum yang Makruh. Ini adalah termasuk dalam maqasid tahsiniyat, iaitu salah satu maqasid syariah Islam.

Oleh itu, hukum-hakam sama ada yang qalbi, qauli atau fi’li boleh dijadikan qiyas bagi membina etika hidup.

Ketahui lebih lanjut dari buku KE ARAH HAJI YANG MABRUR, tulisan Hj Mohamad Lamin, terbitan Telaga Biru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan