Sembang Hari ini

Allah swt kata Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Namun apabila malaikat bertanya Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan)? (al-Baqarah, 30)

Namun Allah meneruskan niat-Nya dengan menjadikan sejenis makhluk digelar manusia, yang sifatnya Allah tetapkan dengan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat (al-Anam 165). Kedudukan ini adalah satu kesengajaan Allah swt.

Antara kelainan darjatnya ialah dan Allah menambahkan kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh (al-Araf, 69). Sebahagian yang lain pula dengan diberi kemudahan untuk mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, memahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah (al-Araf, 74), dan sebahagian yang lain diberi kuasa pemerintahan di bumi (an-Nur, 55).

Dengan kelebihan-kelebihan itu Allah menyatakan hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu (al-Anam, 165). Lalu Allah swt menyeru maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu (al-Araf, 69).

Ayat-ayat di atas ini adalah berkaitan dengan kekhalifahan. Ayat 30 al-Baqarah itu menyebut Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi, ayat 165 al-Anam menyebut Dan Dia-lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi, ayat 69 al-Araf pula menyebut Dan kenangkanlah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, ayat 74 al-Araf juga menyebut Dan kenangkanlah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaun Aad. Demikian juga yang disebut oleh ayat 129 al-Araf, ayat 14 surah Yunus, ayat 55 an-Nur, ayat 26 surah Sad.

 Mengikut kontak ayat-ayat ini bererti hampir semua orang adalah khalifah. Kelebihan yang ketara bagi kebanyakan orang ialah kecukupan anggota tubuh badan, mempunyai kudrat seperti yang disebut oleh ayat 69 al-Araf di atas tadi.

Namun bagi melantik seseorang khalifah di tahap gelaran ketua agama atau raja Allah menggariskan mestilah dari kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh sahaja, seperti mana Sayidina Abu Bakar adalah orang pertama menjadi khalifah selepas kewafatan baginda Nabi saw.

 Jika semua orang adalah khalifah maka secara tidak langsung bermaksud bahawa kehidupan di bumi ini adalah kehidupan khalifah, cara hidup ini adalah cara hidup khalifah, iaitu cara hidup yang coraknya saling membantu satu sama lain, saling berkongsi nikmat-nikmat kurniaan Allah swt, termasuk nikmat-nikmat ruang dan infra struktur tempat tinggal.

Jika setiap orang berpegang kepada konsep ini, maka lahirlan suasan kehidupan yang ceria, sejahtera walaupun menyedari tidak sedarjat dengan orang lain. Dia akan merasakan dirinya masih mempunyai tempat dalam komunitinya. Dia tidak akan melihat situasi berkasta-kasta yang mencetus rasa ketidakpuasan hati, terbuku di hati, rasa rendah diri, rasa dirinya tidak berguna dan sebagainya.

Justeru seorang yang mempunyai kefahaman ini tidak akan melihat dunia ini sebagai suatu tempat yang penuh misteri, penuh kegelapan dan kedurjanaan, kehidupan yang dikuasai oleh perasaan buruk-sangka dan ketakutan hanya disebabkan keadaan diri dan keluarganya yang kurang bernasib baik.

Dia akan merasakan dirinya masih ada harga diri, masih berpeluang untuk menjadi seorang yang diharap, diperlukan oleh dunianya.

Sebaliknya, seorang yang tidak mempunyai kefaham ini akan bersikap prasangka buruk. Nalurinya selalu sahaja menguasai dirinya lantaran tidak lagi berpegang kepada agama atau mempercayai agama. Lalu kehidupannya disandarkan kepada tanggapan bahawa manusia sendiri yang mempunyai kuasa dan hak untuk menentukan apakah yang terbaik untuk mereka, inilah fahaman orang-orang atheists, agnostik atau humanists. Mereka terlalu berpegang kepada sains dan kaedah saintifik untuk memahami dunia tempat manusia tinggal ini. Mereka bertanggapan bahawa sains sebagai sesuatu yang tepat dan boleh dipercayai, lantaran pengumpulan data, eksperimen, pencerapan dan kesimpulan adalah satu-satunya cara untuk memperoleh pengetahuan bagi menentukan apakah yang betul dan apakah yang palsu.

Banyak lagi pandangan-pandangan yang dicetuskan oleh kuasa taakulan otak. Akibatnya manusia itu keseluruhannya dalam keadaan bercelaru dan saling keliru, tanpa sebarang harapan untuk mendapat keputusan yang mana satu betul dan yang mana satu salah.

 Dalam situasi ini kita sendiri tercari-cari dan memikir-mikirkan caranya bagaimana hendak mengenali yang mana satu betul. Yang jelas, jika cara itu betul terasa pula ada yang tidak betul. Tidak dinafikan kebanyakannya dilihat seperti ada sedikit sebanyak kesamaan, tetapi jika diteliti semula didapati setiap satunya itu jelas berbeza dalam hal-hal yang penting-penting.

Sebenarnya tidak ada sesiapa pun, walau setinggi mana kebijaksanaannya yang boleh memberikan jawapan yang lengkap, sahih dan memuaskan jika ditanya tentang asal kejadian dunia ini, tentang kehidupan dan destininya. Belum ada lagi mana-mana kumpulan manusia yang mampu berbuat demikian.

 Situasi-situasi di atas ini boleh mencetuskan kesedaran misalnya mengapa Allah swt hanya memerintahkan manusia mendirikan sembahyang, zakat, puasa dan haji, tidak ada yang lain-lain lagi. Jika dilihat sekali lalu, dengan fikiran yang singkat, ia sebagai satu persoalan yang relevan. Namun jika difikirkan lebih jauh lagi, misalnya apakah kita lupa bahawa Allah swt dan Rasul-Nya meninggalkan al-Quran dan Sunnah Nabi sebagai petunjuk jalan hidup. Justeru maka kita harus melihat ibadah yang empat itu ada hikmah di sebaliknya, bukan sekadar untuk ditunaikan sebagai tanda keimanan semata-mata.

Misalnya, dalam ibadah sembahyang, surah al-Fatihah yang menjadi rukunnya itu bermaksud kita harus membaca dan mentadabur al-Quran kerana surah ini adalah umul kitab.

Justeru apabila para ulama’ memperkenalkan istilah Rukun Islam harus dikaji maksudnya. Barulah kita mendapat mutiaranya bahawa di sebaliknya sarat dengan tujuan-tujuan dan ideologi. Misalnya sembahyang itu bertujuan mendidik pengamalnya dengan sikap kepedulian. Baru kita sedar bahawa disebalik amalan yang kerohanian itu bertujuan untuk membina nilai-nilai yang sifatnya keduniaan. Baru kita sedar bahawa cara hidup Islam tidak memisahkan antara kerohanian dengan keduniaan.

Justeru kita harus mempunyai asas-asas kefahaman tentang Islam agar kehidupannya tidak terumbang-ambing, bercelaru, tidak mempunyai tujuan yang realistik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan