Konsep Zikir

Tidak semua ibadah akan diredai Allah swt. Sama ada ibadah khusus ataupun ibadah umum. Hal ini disebut dalam hadis tentang dialog antara Nabi Musa as dengan Allah swt.

Nabi Musa:   Wahai Allah, aku telah melaksanakan ibadah, lalu manakah ibadahku yang membuatkan Engkau reda?

Allah swt:     Solat? Solat itu untuk dirimu sendiri kerana dengan mengerjakan solat engkau terpelihara daripada keji dan mungkar. Zikir? Zikirmu itu hanya untuk dirimu sendiri, membuatkan hatimu menjadi tenang. Puasa? Puasamu itu untuk dirimu sendiri, melatih dirimu untuk memerangi hawa nafsumu sendiri.

Nabi Musa:   Lalu ibadahku yang manakah yang membuatkan Engkau reda ya Allah?

Allah swt:     Sedekah, infaq, zakat dan perbuatan baikmu. Itulah yang membuatkan Aku reda kerana ketika engkau membahagiakan orang yang sedang susah Aku hadir di sampingnya.

Hadis ini menunjukkan dua contoh ibadah khusus iaitu sembahyang dan puasa yang tidak diredai, dan satu ibadah umum iaitu zikir. Tidak diredai itu lantaran tujuannya ialah untuk faedah diri sendiri. Dengan kenyataan ini fahamlah kita bahawa ibadah yang diredai adalah yang membawa faedah buat orang lain.

Bagaimanakah caranya untuk beribadah yang membawa faedah buat orang lain? Kita ambil zikir sebagai contoh. Setelah memahaminya kita boleh gunakan untuk memikirkan pula caranya bagaimana melakukan ibadah sembahyang dan puasa yang diredai Allah swt.

Dalam hadis di atas ini menunjukkan zikir itu tidak diredai Allah swt kerana tujuannya untuk membuatkan hatimu menjadi tenang. Memang jelas tujuan berzikir itu adalah untuk dirimu sendiri, sedikit pun tidak berrkaitan dengan orang lain.

Mengapakah zikir sedemikian tidak diredai Allah swt? Kita lihat jawapannya dengan melihat kembali tujuan asal Allah swt menjadikan kita, apadia? Ini berkaitan dengan konsep kekhalifahan.

Ayat 30 al-Baqarah menyebut Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Konsep kekhalifahan menjelaskan peranan utamanya adalah mengurus alam ini, termasuk kehidupan manusia.

Khalifah adalah gelaran bagi ketua agama atau raja bagi sesebuah negara (Islam). Misalnya Sayidina Abu Bakar adalah orang pertama menjadi khalifah selepas kewafatan baginda Nabi saw. Secara umum, khalifah bermaksud pengganti kepada Nabi saw. Yang bermaksud bahawa khalifah dalam kontaks ini adalah jawatan pemerintah.

Namun terdapat juga ayat-ayat al-Quran yang menggambarkan bahawa khalifah itu ialah manusia awam, seperti yang disebut oleh ayat 129 al-Araf, yang menyebut Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi. Jawapan ini menunjukkan seseorang khalifah itu adalah dari golongan manusia awam. Demikian juga yang disebut oleh ayat 14 surah Yunus yang menyebut ertinya Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu.

Soal kekhalifahan ini sedari awal lagi al-quran menyebut bahawa  khalifah bukanlah sebagai jawatan pemerintah. Ayat 30 al-Baqarah menyebut ertinya, Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Namun malaikat mempersoalkan, Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan (berbunuh-bunuhan). Frasa kata menumpahkan darah menggambarkan orang itu ialah manusia awam.

Mungkin akan ada orang menimbulkan persoalan misalnya adakah semua manusia? Atau adakah syarat-syarat tertentu untuk dijadikan khalifah? Terdapat beberapa ayat al-Quran yang menyebut mereka adalah orang-orang yang diberi kelebihan tertentu. Apakah kelebihan-kelebihan itu?

Antaranya seperti yang disebut oleh ayat 165 al-Anam, dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat. Darjat apakah yang dimaksudkan itu? Mengikut ayat 69 al-Araf ialah kudarat tubuh badan. Ayat ini menyebut, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu.

Ayat ini juga menyebut, Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya. Ini menggambarkan kelebihan kudrat tubuh badan itu sebagai nikmat Allah. Apabila Allah menyeru Maka kenanglah bermaksud menggunakannya, dalam kontak ini ialah untuk peranan sebagai khalifah.

Kekuatan tubuh badan itu adalah sebahagian daripada darjat kelebihan. Maka apa jua kekuatan yang lain yang ada pada sekujur badan kita adalah sebahagiannya lagi. Misalnya kekayaan, keintelekan. Justeru seseorang manusia yang mempunyainya adalah wajib menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah. Allah swt melihatnya sebagai antara orang-orang yang layak menyandang tugas khalifah. Justeru tidak boleh dinafikan bahawa apa jua nikmat yang Allah swt berikan adalah antara kelebihan darjat yang disebut oleh ayat 165 al-Anam itu.

Dengan demikian gelaran khalifah itu tertanggung kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kelebihan:

ü  kudrat tubuh badan,

ü  kelebihan intelek,

ü  kekuasaan,

ü  harta, dan

ü  seumpamanya.

Antara darjat kelebihan yang nyata ialah kekayaan harta, pangkat dan intelek. Justeru kelebihan ini harus dikenang juga. Malangnya berapa ramai orang yang mempunyai kelebihan intelek seperti PhD, dan keilmuan yang lain itu menyedari bahawa dirinya adalah seorang khalifah mengikut kontak di atas ini, harus menggunakannya untuk maslahah manusia dan alam keseluruhannya.

Nikmat-nikmat Allah juga digambarkan oleh ayat 74 al-Araf yang menyebut, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah. Ini adalah kemudahan yang berkaitan dengan infrastruktur tempat tinggal. Allah juga menyeru, Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharalela melakukan kerosakan di bumi. Dari sudut qiyas, kemudahan itu meliputi juga yang berkaitan dengan unsur-unsur untuk kelangsungan hidup seperti air, udara, tumbuhan dan haiwan. Jadi selain kekuatan tubuh badan kelebihan darjat itu ialah kuasa pemerintahan.

Jadi kelihatannya seseorang khalifah itu lebih dimaksudkan kepada manusia biasa yang mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu. Ini bertepatan dengan maksud ayat 30 al-Baqarah. Syaratnya ialah jika menggunakannya untuk membela orang yang lebih rendah darjatnya.

 

Tugas khalifah

 Ayat-ayat di atas itu secara tidak langsung menggambarkan tugas dan tanggungjawab seseorang khalifah. Misalnya Maka kenanglah yang disebut oleh ayat 69 al-Araf, ayat 74 al-Araf itu bermaksud seruan menggunakannya untuk jihad di jalan Allah swt, iaitu untuk membela nasib orang-orang yang lebih rendah darjatnya.

Antara lain lagi ialah tanggungjawab menjaga alam sekitar. Ini disebut oleh ayat 74 al-Araf. Dengan kata lain ialah menjaga bumi ini dan segala kandungannya. Ini menggambarkan situasi kehidupan di dunia ini.

Dengan ayat-ayat di atas juga Allah mengingatkan kesemuanya itu adalah ujian bagi mereka yang mempunyai kelebihan tersebut.

Jadi kelihatannya objektif utama kepemimpinan seseorang khalifah ialah untuk membina iklim kehidupan yang sejahtera, bahagia dan memuaskan di bumi buat manusia dan makhluk sekalian alam. Seperti yang telah disebut sebelum ini, sasarannya pula buka manusia sahaja tetapi juga makhluk sekitaran sama ada yang hidup atau yang tidak hidup. Alasannya ialah kerana kesejahteraan manusia bergantung juga kepada kesejahteraan makhluk itu tadi.

Sebagai persediaan menjadi khalifah, Allah swt mengurniakan manusia dengan akal yang mampu berfikir, agar manusia mampu meneroka segala isi alam ini untuk ikhtiar hidupnya. Dengan akalnya yang bersifat kritis dan kreatif itu mampu pula merobah sumber-sumber alam yang semulajadi ini menjadi sesuatu yang baru. Yang lebih penting lagi untuk disedari ialah dengan akal menjadikan manusia mampu membezakan antara yang salah dengan yang benar, yang cantik dengan yang buruk. Tidak seperti haiwan yang akalnya hanya untuk menerbitkan naluri makan-minum, berkelamin dan beranak sahaja selaras dengan yang telah ditentukan-Nya.

Setiap orang Islam hanya diwajibkan mendirikan empat ibadah sahaja iaitu sembahyang, zakat, puasa dan haji, tiada yang lain lagi. Logiknya, inilah ibadah-ibadah yang dijadikan asas bagi membentuk keperibadian seseorang khalifah. Jadi, empat ibadah dalam Rukun Islam itu adalah bertujuan mengasuh manusia bagi melayakkannya menjadi khalifah.

Jadi, sebagai tiang agama, sembahyang itu adalah asasnya. Kemudian disempurnakan lagi dengan ibadah-ibadah yang lain, sama ada ibadah khusus atau ibadah umum.

Adakah sembahyang, puasa dan zikir kita sudah menyumbang kepada membina sikap kekhalifahan itu.

Tentu tidak berlebihan untuk mengatakan bahawa inilah antara sebab-sebab ibadah sembahyang kita tidak diredhai Allah swt, zikir kita tidak diredhai Allah swt, puasa kita tidak diredai Allah swt. Sembahyang kita sah tetapi tujuannya tidak kesampaian. Jika ada tujuannya sekalipun, Allah swt menghendaki yang membawa faedah buat orang lain, sejajar dengan tujuan-Nya menjadikan manusia sebagai khalifah. Bukan untuk faedah diri sendiri.

 

Konsep berzikir

Bagaimanakah caranya menjadikan ibadah zikir yang membawa faedah buat orang lain? Pertama sekali tujuan berzikir itu harus diperbetul.

Dari awal lagi Allah swt menghendaki kita hidup dalam keadaan sentiasa mengingati-Nya. Kedudukan ini disebut oleh ayat 56 az-Zariyat. Antara lain lagi ialah ayat 152 al-Baqarah yang menyebut, Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku.

Cara mengingati-Nya disebut oleh ayat 41 al-Ahzab yang menyebut, …ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya, ayat 200 al-Baqarah menyebut, …hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah. Ayat-ayat inilah yang menjadi asas amalan berzikir, iaitu menyebut-nyebut nama Allah swt.

Biasanya orang berzikir adalah dengan melafazkan kalimah-kalimah allahu akbar, subhanallah, alhamdulillah, dan sebagainya. Ini adalah kalimah-kalimah yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah: allahu akbar itu mengakui bahawa hanya Allah yang Maha Besar, subhanallah sebagai pengakuan yang bermaksud Maha Suci Allah, alhamdulillah sebagai tanda pujian dan kesyukuran buat Allah swt.

Lafaz kalimah-kalimah itu biasanya dilakukan dalam jumlah sehingga 33 kali, 100 kali seusai menunaikan sembahyang seperti yang disebut oleh ayat 103 an-Nisa’. ketika bertahlil dan sebagainya. Lafaz yang berulang-ulang kali ini dilihat sebagai satu bentuk latihtubi, dan jika dilakukan dengan kesedaran akan tujuannya, diharap akan memberi kesan kepada sikap pengamalnya, iaitu sikap mengingati Allah swt. Jadi, Zikir adalah satu bentuk latihtubi yang objektifnya adalah mengingati-Nya.

Sejajar dengan tuntutan ayat 56 az-Zariyat itu tadi, kita diseru agar sentiasa mengingati-Nya dalam semua keadaan. Hal ini disebut oleh ayat 191 ali-Imran yang menyebut, …dan mengingati Allah semasa mereka berdiri,  dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring.

Jadi berzikir itu adalah satu caranya menanamkan kesedaran sentiasa mengingati-Nya.

Mengingati Allah swt boleh menjadi sebagai alat untuk mencegah kemungkaran. Misalnya, seseorang yang hendak melakukan sesuatu kerosakan atau kemungkaran akan membatalkannya sebaik sahaja dia ingat akan Allah swt.  Pendek kata dia sudah dikuasai oleh ayat-ayat di atas ini.

Orang-orang yang masih tergamak melakukan sesuatu kemungkaran atau kebobrokan itu adalah tandanya dia melupakan Allah. Misalnya seperti yang disebut dalam kitab iaitu mencela orang munafik. Melupakan Allah swt secara sengaja adalah dikira melanggar tuntutan ayat 56 az-Zariyat. Berdosa.

Apalah ertinya berzikir dan berwirid menyebut-nyebut nama Allah atau sifat-sifat-Nya jika kita masih menyimpan ruang untuk melupakan Allah swt? Hal ini berkaitan dengan ayat 142 an-Nisa’. Inilah sebabnya Allah swt tidak meredai zikirnya.

Dengan demikian maka sedarlah kita bahawa konsep mengingati Allah itu adalah menjadi alat yang mencegah kemungkaran. Inilah faedah yang dirasai oleh orang lain dari zikir kita. Zikir kita diterima Allah swt.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan