Ramai tidak menyedari bahawa ibadah-ibadah kita ada maqasidnya atau tujuan yang Allah swt ingin kita mencapainya. Ia bukan sekadar ibadah ritual (kerohanian) sahaja, tetapi sebagai asas kehidupan keduniaan.
Ibadah
sembahyang, zakat, puasa dan haji kita mempunyai rohnya yang mesti dihidupkan. Jika
tidak ibadah kita hanya tinggal ibadah sebagai tanda keimanan semata-mata,
menjadi ibadah adat sahaja, yang tidak mendapat rahmat Allah swt, Allah swt
tidak menerimanya.
Malangnya
ramai yang tidak menyedari perkara ini. Oleh sebab itu, ramai yang menunaikan
sembahyang, zakat, puasa dan haji tanpa tujuan. Hal ini menyebabkan
ibadahnya tidak memberi kesan dalam dirinya sekali gus menjadikan dirinya tidak
terdidik oleh ibadahnya.
Maka ibadahnya hanya tinggal ibadah
sebagai formality yang ritual sahaja.
Inilah yang
terjadi dalam masyarakat kita. Daripada pemerhatian dan perbualan saya bersama
rakan-rakan dalam kalangan agamawan, terbukti rata-rata umat Islam negara ini,
termasuk yang bakal menjadi pendidik agama di sekolah-sekolah rendah dan
menengah, golongan tua dan muda, golongan berpelajaran di bandar atau di luar
bandar juga tidak menyedarinya.
Mereka
bertanggapan ibadah tiada kaitannya dengan kehidupan seharian.
Saya
pernah menguji sekumpulan pelatih bakal guru agama di sebuah maktab perguruan (ketika
itu, yang sekarang digelar institusi perguruan).
Secara
kebetulan ketika waktu rehat, perjalanan saya melalui kakilima terhalang oleh
sekumpulan lima orang pelatih wanita, bakal guru agama yang sedang sembang. Lalu
saya menegur mereka agar tidak membuat halangan di laluan, sambil menyebut satu
hukum dalam bab sembahyang, Makruh sembahyang di laluan.
Saya agak
terkejut kerana jawapan salah seorang daripada mereka adalah, Itu dalam
sembahyangyang, encik. Itulah jawapannya. Saya sebagai tenaga pengajar di
maktab berkenaan yang bukan dari kalangan ustaz digelar encik.
Jawapan
itu menunjukkan mereka mengetahui hukum tersebut, tetapi bagi mereka itu tiada
kaitannya dengan perlakuan mereka menghalang laluan berkenaan. Hal ini
membuktikan wujudnya tanggapan bahawa ibadah itu ibadah, tiada kaitannya
dengan kehidupan seharian.
Hakikatnya,
sembahyang, zakat, puasa dan haji itu ada maqasidnya, ada tujuannya yang Allah
swt ingin kita bapai. Dengan kata lain ibadah-ibadah kita adalah merupakan satu
proses pendidikan ke arah pembantukan sahsiah dan keperibadian.
Namun
pemikiran ini dilihat oleh rakan-rakan sebagai pemikiran seorang sufi. Saya yang
tidak begitu mendalami fahaman sufi hanya diam dan akur sahaja apabila dianggap
demikian. Walau bagaimanapun, sama ada
apa yang saya fikirkan itu adalah seperti fahaman sufi atau tidak, saya tetap
yakin bahawa apa sahaja yang saya fikirkan ini adalah betul.
Label sufi
tadi memberikan saya satu gambaran seolah-olah golongan sufi dilihat sebagai
satu golongan elit agama yang terasing daripada masyarakat. Seolah-olah fahaman
dan pegangan orang sufi itu bukan untuk orang awam seperti kita. Namun
tanggapan saya tadi sudah menafikannya. Jika kita menerima tanggapan bahawa
sesuatu ibadah itu ada tujuan maka golongan sufi ini adalah yang betul.
Pandangan
mereka itu menerima idea bahawa setiap ibadah itu ada tujuannya, setiap
pengajaran ilmu fiqh harus disertakan dengan ajaran-ajaran cari hidup. Mereka
tidak membataskan pengajaran fiqh kepada hukum-hakam, apa yang boleh dan tidak
boleh dilakukan ketika sembahyang, haji dan lain-lain. Mereka melihat fiqh
adalah praktikal.
Pengajaran
fiqh mestilah dimasukkan sekali iktibarnya agar boleh dijadikan panduan dalam
menjalani kehidupan seharian. Tidak sepatutnya dipisahkan antara tujuan ritual
dengan keduniaannya; kedua-duanya harus berjalan seiring.
Jadi sudah
tiba masanya kita mengubah persepsi ini dengan membina satu tanggapan baru yang
tidak lagi memisahkan antara golongan faqh dengan golongan sufi, selagi tidak
menyimpang dari syariat dan Sunnah.
Kita
dibenarkan mengambil qiyas selagi tidak menyimpang daripada ajaran al-Quran
dan as-Sunnah. Hukum sembahyang yang tersebut di atas tadi misalnya, mengajar
kita erti jangan membuat halangan di laluan. Inilah antara contoh qiyas yang
terbit daripada hukum berkenaan. Itulah antara semangat atau roh sembahyang
kita yang lahir dari satu hukum yang Makruh. Ini adalah termasuk dalam
maqasid tahsiniyat, iaitu salah satu maqasid syariah Islam.
Oleh itu,
hukum-hakam sama ada yang qalbi, qauli atau fi’li boleh dijadikan
qiyas bagi membina etika hidup.
Ketahui
lebih lanjut dari buku KE ARAH HAJI YANG MABRUR, tulisan Hj Mohamad Lamin,
terbitan Telaga Biru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan