Rasulullah saw bersabda, Sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada orang lain, dan sejahat-jahat manusia adalah yang mendatangkan kerugian bagi orang lain.
Tentu anda setuju bahawa hadis ini bertepatan dengan konsep khalifah yang baru kita bincangkan:
menggunakan apa jua kelebihan yang kita punyai untuk faedah buat orang lain.
Jadi darjat sebaik-baik manusia adalah mereka yang berjaya meraih gelaran khalifah. (Lihat ayat-ayatnya di sini).
Kitab Mukasyafah al-Qulub mengaitkan kedudukan ini dengan ayat 110
ali-Imran yang ertinya, Kamu (wahai umat
Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia.
Kitab ini juga menjelaskan mereka adalah umat yang mengutamakan umat-umat yang lain.
Kalimah ukhrijat dalam ayat ini bermaksud
dinampakkan kepada manusia, iaitu memberi manfaat dan kebaikan kepada manusia
lain.
Sambungan ayat 110 itu menyebut, …(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang
daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman
kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…
Maksudnya, kitab ini menyebut, Ayat ini mengandungi penjelasan tentang
kewujudan mereka sebagai yang terbaik selain kelebihan mereka yang tegak di atas
sifat-sifat tersebut. (Mukasyafah al-Qulub, 180) Ini bererti bahawa antara
sifat-sifat lain yang bersama dengan watak
terbaik itu ialah sikap amar makruf nahi munkar yang disebut menyuruh berbuat segala perkara yang baik
dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dengan
kata lain ialah bahawa sesiapa yang bersikap amar makruf nahi munkar juga adalah termasuk ke dalam golongan
sebaik-baik manusia. Hal ini disebut oleh hadis yang maksudnya, Barangsiapa yang menyuruh kebaikan dan mencegah
kemunkaran, bererti ia adalah khalifah Allah swt, serta khalifah Kitab dan
rasul-Nya di bumi (Mukasyafah al-Qulub, 181).
Pernah diriwayatkan bahawa Khuzaifah
ra berkata, Akan datang suatu zaman
kepada manusia ketika bangkai keldai lebih mereka sukai daripada orang Mukmin
yang menyuruh mereka berbuat kebaikan dan mencegah mereka dari kemungkaran.
Pernah diriwayatkan juga bahawa Nabi
Musa bertanya kepada Allah swt, Tuhanku,
apakah balasan bagi orang yang mengajak saudaranya kepada kebenaran, menyuruhnya
berbuat kebaikan dan mencegahnya dari kemungkaran? Allah swt menjawab, Untuk setiap kata-katanya Aku menuliskannya
sebagai ibadah Sunnah untuknya dan Aku merasa malu untuk mengazabnya dengan api
neraka.
Pendek kata, darjat sebaik-baik
manusia itu diberikan kepada manusia yang wataknya
sebagai khalifah iaitu mengutamakan faedah buat orang lain, dan manusia yang
bersifat amar makruf nahi munkar
kerana ini adalah risalah Kitab dan rasul-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan