Hari akhirat adalah sebagai membuktikan bahawa Allah Maha Adil dan bersifat belas kasihan. Allah mencipta manusia dan menjadikan manusia bertanggungjawab atas semua tindak-tanduknya. Ada manusia yang berkelakuan baik dan ada yang tidak.
Di
bumi orang yang baik dan bersifat luhur sering menghadapi kecelakaan dan
kesusahan, manakala yang zalim seolah-olah baik dan dibiarkan bermaharajalela. Orang yang tidak bersalah sering sahaja
menderita akibat tangan-tangan pengeksplotasi dan penjenayah, yang seolah-olah
tidak peduli tentang erti dosa dan rasa bersalah.
Jika
tidak disediakan kehidupan hari akhirat di mana orang-orang yang jahat dan
zalim akan diberi balasan, dan orang-orang yang baik dan luhur diberi ganjaran
maka tidaklah ada keadilan. Tidak adalah gunanya manusia dijadikan dan
dipertanggungjawabkan, dilantik pula nabi-nabi bagi mengingatkan manusia
tentang tanggungjawab ini. Lihat firman Allah, Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di
antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan;
yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi
orang-orang yang kafir itu dari azab neraka (as-Saad, 38: 27), dan Patutkah Kami jadikan orang-orang yang
beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang yang melakukan kerosakan
di muka bumi? Atau patutkah Kami jadikan orang-orang yang bertaqwa sama seperti
orang-orang yang berdosa? (as-Saad, 38, 28)
Hari akhirat diperlukan bagi menjalankan
keadilan dan kesak-samaan. Hari akhirat juga diperlukan bagi membuktikan
tujuan sebenar kehidupan, biar manusia melihat sendiri dengan bukti nyata
apakah yang mereka lakukan dan usahakan.
Setiap
niat akan ditunjukkan dengan jelas: yang baik akan kelihatan baik, tetapi yang
bersalutkan motif yang tidak ikhlas juga akan didedahkan. Hal ini tidak siapa
pun mengetahuinya ketika hidup di dunia. Misalnya di dunia, percakapannya
seperti sangat bersimpati tetapi niat dalam hatinya adalah bertujuan mengutuk
atau apa sahaja.
Semua
isu dan pertikaian yang ditimbulkan ketika di dunia, perbezaan worldview antara sesama manusia, dan
perbezaan keper-cayaan akan diselesaikan di akhirat. Di sana kelak akan
ditentukan yang mana betul dan yang mana salah. Dalam al-Quran hari akhirat
disebut sebagai hari kebenaran dan hari keputusan. Di sanalah nanti semua
penipuan atau ghurur, manipulasi,
penindasan akan didedahkan di depan mata kepala anda sendiri.
Kesedaran
tentang kebenaran hari akhirat ini diharap boleh memberi kesan ke atas sikap,
emosi, dan tindakan ketika menjalani kehidupan di dunia. Ianya boleh memberi
makna yang mendalam erti tujuan hidup. Misalnya anda tidak akan menjadi seorang
yang memandang kehidupan duniawi dan ketamakan diri sendiri sahaja. Dengan
maksud lain, anda tidak akan menjadi seorang yang terlalu gilakan kehidupan
duniawi yang materislistik kerana anda tahu hidup ini tidak akan berakhir
dengan kematian sahaja.
Hasilnya
anda akan mempunyai kehidupan di mana emosi dan
psikologi seimbang. Anda akan menjadi seorang yang berupaya menghadapi cabaran, kesukaran dan ujian kerana anda mempunyai keyakinan terhadap keadilan Tuhan
Pencipta Hari Akhirat. Anda tidak akan merasa terlalu resah, sedih, takut dan
kecewa setiap kali menghadapi ujian dari orang-orang yang melakukan
kedurjanaan, ketidakadilan, manipulasi dan sebagainya. Anda rasa segala
kebejatan ini tidak akan menjadi kudis sedikitpun.
Anda
akan mempunyai tekad bukan sahaja untuk mengelak-kan perbuatan-perbuatan buruk,
menjijikkan dan jenayah tetapi sebaliknya anda akan menjadi seorang yang mampu
menggunakan segala sumber untuk berbuat baik seperti yang disebut oleh satu
ayat dalam al-Quran, Dialah yang mencipta
kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah antara kamu yang terbaik
kelakuannya.
Dengan
demikian adalah sangat wajar dan perlu
diujudkan hari akhirat. Bagaimanakah
hari akhirat ini adalah suatu yang pasti.
Bagi sesetengah orang memang percaya adanya Tuhan namun
mereka seperti tidak mahu menerima bagaimana mayat yang sudah reput boleh
dibangkitkan semula, dan diambil kira segala tindakan mereka di bumi. Orang
Quraisy yang sekular, dan juga mereka yang mempunyai kepercayaan yang kurang
jelas tentang kewujudan Tuhan mendapati sukar untuk menerima hakikat hari
kebangkitan. Hal ini disebut oleh ayat 78 surah Yaasin, Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang
kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan
Kami menciptakannya sambil ia bertanya:
‘Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?’
Al-Quran menceritakan
tentang seseorang yang melalui sebuah
bandar tinggalan, yang rumah kediamannya telah
hancur rosak dan penduduknya telah mati dan dikebumikan. Orang itu
bertanya, Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya
(rosak binasanya)? (al-Baqarah, 2: 259).
Al-Quran
juga menceritakan, Dan mereka bersumpah
dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh (sambil berkata): ‘Allah tidak akan
membangkitkan semula orang-orang yang telah mati’. (an-Nahl, 16: 38). Namun Allah memberi tahu orang yang
bersumpah itu, seperti yang disebut
dalam ayat yang sama, (Itu tidak benar),
bahkan janji Allah membangkitkan orang-orang yang telah mati) tetap benar;
tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Orang itu menolak hakikat kebangkitan semula manusia yang
telah mati itu sebenarnya adalah kerana sikap materialistik mereka terhadap
kehidupan. Bagi mereka semua kebenaran haruslah yang dapat dilihat, dirasa,
didengar, sepertimana sesuatu objek.
Al-Quran
mengingatkan orang-orang yang masih bingung dengan hari kebangkitan supaya
tidak terkejut kerana hari kebang-kitan semula bukan sahaja logik tetapi adalah
kebangkitan yang fizikal. Jika Allah berkuasa mencipta manusia dari tiada
menjadi ada (ayat 5 surah Hajj), apa sangatlah jika dikatakan Allah juga berkuasa
menghidupkan orang-orang yang mati (ayat 6 dan 7 surah Hajj).
Apakah
mereka tidak pernah mendengar tentang teknologi klon, di mana manusia boleh
menghidupkan DNA kambing yang diambil dari tulang kambing yang telah mati
menjadi seekor anak kambing, walaupun anak kambing itu tidak boleh hidup lama.
Justeru apa sangatlah bagi Pencipta untuk menghidupkan semula orang yang telah
mati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan