Menjadi Khalifah

Semua perbincangan tentang menjadi khalifah, ayat-ayat tentang khalifah, Islam Rasulullah saw juga berasaskan kekhalifahan, akhirnya membawa kita kepada satu persoalan yang tidak dapat dielakkan: Jika semua ini benar, apakah lagi alasan untuk tidak menyahut seruan menjadi khalifah (al-Baqarah, 30)?

Manusia tidak diciptakan tanpa tujuan. Sejak awal, Allah telah mengisytiharkan dalam Surah al-Baqarah ayat 30 bahawa manusia adalah khalifah di bumi. Bukan sekadar untuk hidup, makan-minum, bekerja dan kemudian mati, tetapi memikul amanah yang besar.

Namun realitinya, ramai manusia hidup seolah-olah mereka tidak pernah diberitahu tentang amanah itu.

 

Antara Tahu dan Sedar

Ramai yang tahu tentang Islam. Ramai yang biasa mendengar tentang tanggungjawab sebagai hamba.

Tetapi tidak semua benar-benar sedar. Yang tahu pula tidak menggerakkan. Islam menghendaki mereka yang mempunyai kesedaran mengubah seluruh kehidupan.

Seseorang memang tahu bahawa solat itu wajib, tetapi masih melengahkan-nya. Seseorang memang tahu bahawa hidup ini amanah, tetapi masih mengabai-kannya. Membuktikan, yang kurang bukan maklumat tetapi kesedaran yang hidup dalam jiwa.


Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga Muslim. Sejak kecil saya telah diajar cara-cara menunaikan solat, berpuasa di bulan Ramadan, menghormati ibu bapa, dan membaca al-Quran. Saya menghadiri kuliah agama, menadah kitab, mendengar ceramah, dan bergaul dengan ramai orang soleh. Saya bersyukur, kerana Islam telah menjadi identiti saya sejak lahir.

Namun sebaik usia mencapai 70an, sebagai pesara saya sedar mempunyai banyak masa. Masa inilah saya banyak merenung dan memikirkan tentang Islam - seperti ada sesuatu dalam agama saya yang meninggalkan ruang kosong. Kesimpulan-nya apakah selama ini saya benar-benar berada dalam Islam yang sebenar? Atau sekadar Islam  yang saya warisi tanpa saya fahami maknanya?

Saya tergerak menyelidik, membaca semula al-Quran bukan dengan mata ibadah, tetapi dengan mata pencarian: apa sebenarnya yang Allah kehendaki daripada saya di bumi ini?

Lalu saya bertemu dengan satu ayat yang mengubah seluruh pandangan saya tentang Islam:

Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi ini  (al-Baqarah, 30).

Saya tidak pernah mengharap mencari ayat ini, namun sedikit sebanyak ini benar-benar menyentuh jantung hati saya. Lalu saya berbisik dalam hati bahawa inilah antara jawapan kepada persoalan tentang apa yang Allah kehendaki dari saya.

Betapa luluhnya hati apabila mengingat bahawa selama ini saya bukan seorang khalifah. Siapakah saya? Setelah usia melewati 77 tahun baru tahu.

Selama ini saya hidup mengaku hamba Allah namun tidak saya mengerti makna hamba Allah. Baru saya sedar bahawa saya sepatutnya menjadi khalifah.

Ya Allah ampunkan saya, berilah saya sedikit masa lagi untuk menjadi khalifah, moga saya akan pergi sebagai khalifah sekadar yang saya mampu..

Baru saya sedar selama ini saya mengamalkan Islam sebagai agama ritual, sembahyang, puasa, menunaikan haji tetapi saya telah melupakan bahawa saya diutus oleh Allah sebagai khalifah. 

Saya teruskan pencarian saya tentang khalifah: saya ketemui ayat 165 al-Anam, ayat 69 al-Araf, ayat 74 al-Araf, ayat 62 an-Naml.

Paling menarik perhatian saya ialah ayat 62 itu yang menyebut khalifah adalah mendiamai dan menguasai bumi, namun dalam ertikata mengurus dan memakmurkan bumi.

Dari situ, saya menyedari satu hakikat besar: Saya sepatutnya menjadi seorang khalifah di bumi; hidup saya seharusnya yang berorientasikan kekhalifahan, dan Islam saya atas kefahaman kekhalifahan.

Barulah saya sedar bahawa selama ini Islam saya Islam warisan, Islam yang saya fahami berasaskan ajaran ibu bapa, rakan taulan sekeliling, masyarakat sekitar saya.

Barulah saya sedar bahawa hidup di bumi ini bukan sekadar menunaikan ibadah ritual, hidup berpandukan hukum-hakam yang saya tidak mengerti tujuannya.

Sejak itu saya terus beribadah: sembahyang, puasa, zakat dan haji tetapi semata-mata dikatakan ini adalah Rukun Islam. Saya yakin ibadah-ibadah ini berkaitan dengan kekhalifahan. Saya cuba memahaminya.

Saya lebih tekun menunaikannya sambil cuba memahami misi hidupnya yang berkait dengan khalifah. Saya kini faham, bahawa ibadah itu bukanlah matlamat, matlamatnya ialah kekhalifahan itu. Solat bukan sekadar menyembah, tetapi menyumbang kepada melaksanakan amanah sebagai khalifah.

Maka dengan hati yang bersyukur, saya menulis buku Islam Yang Hakiki — bukan kerana saya telah sempurna, tetapi kerana saya ingin berkongsi apa yang saya temui:

Barulah saya sedar bahawa Islam yang hakiki bermula apabila manusia menyedari dirinya sebagai khalifah, dan bahawa sebaik-baik manusia bukanlah yang paling banyak ibadah semata-mata, tetapi yang sejauh manakah ibadah-ibadah itu mendidik diri saya menjadi seorang kahlifah.

Inilah jalan saya sekarang. Dari Islam Warisan, kini saya melangkah lebih jauh, ke arah menjejaki Islam yang Hakiki.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan