Jumaat, 19 Mac 2021

Sembahyang yang membawa rahmat

Anas ibn Malik meriwayatkan sabda baginda Nabi saw, Barangsiapa yang menunaikan solat satu kali, dari nafas orang itu Allah swt mencipta awan putih. Kemudian Allah swt menyuruh awan putih itu untuk mengambil rahmat dari laut. Lalu ia mengambilnya. Kemudian Allah swt menyuruhnya agar menjadi hujan. Lalu dari titisan yang jatuh ke bumi Allah swt mencitpakan emas, dari titisan yang jatuh ke gunung Allah swt menciptakan perak, dan titisan yang jatuh kepada orang kafir Allah swt menganugerahkannya keimanan.

Pernahkah anda menjumpai emas dan perak?

Hadis ini adalah suatu kiasan. Maksud emas itu adalah faedah yang diperolehi oleh orang yang mengusahakan tanah, dan menjual hasilnya untuk mendapatkan wang sebagai sumber kelangsungan hidup. Demikian juga dengan maksud perak itu.

Maksud hadis yang sebenar ialah sembahyang yang membawa rahmat. Hujan  itu rahmat, rahmat buat manusia.

Apakah pula maksud nafas itu?

Untuk mendirikan sembahyang kita menggunakan nafas untuk membaca ayat-ayat yang telah ditetapkan, untuk melakukan pergerakan dalam sembahyang. Bagaimana bacaan dan pergerakan ini boleh mendatangkan rahmat buat pengamalnya?

Bagi setiap nafas yang kita gunakan untuk membaca ayat-ayat dalam sembahyang, melakukan pergerakan-pergerakan, yang disertai dengan amal yang batin boleh membawa faedah buat orang lain.

Amal yang batin ialah memahami ertinya dan maksudnya. Misalnya kita membaca ayat alhamdulillahi rabbil-alamiin itu kita tahu ertinya Tuhan sekalian alam, maksudnya Allah yang mencipta dan mentadbir alam ini. Seterusnya dengan mengetahui erti ini kita mengambil sikap menjaga alam ini, jika boleh sehingga ke tahap menyayangi alam ini, dengan kata lain tidak melakukan kerosakan dan pembinasaan. Dengan sikap ini pastinya mendatangkan faedah buat orang lain. Setiap orang akan dapat menikmati oksigen untuk bernafas, tumbuhan untuk makanan dan ubat-ubatan, dan sebagainya.

Pergerakan berdiri, tukuk, iktidal, sujud dan duduk dalam sembahyang itu lambang tunduk patuh. Hakikatnya inilah yang Allah swt dan Rasul-Nya kehendaki. Tunduk patuh bererti kita akan bersikap melakukan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Tentu sekali anda setuju orang yang sedemikian akan membuat orang lain rasa selamat, aman, tidak mendatangkan kebimbangan buat mereka. Lihat faedahnya buat orang lain!

Emas dan perak itu adalah lambang faedah-faedah ini. Inilah yang membuatkan sembahyang kita mendatangkan rahmat.

Dengan sikap-sikap yang seperti yang dicontohkan itu pastinya akan membuat orang kafir tertarik, dan berminat dengan ajaran Islam. Ini adalah satu sentuhan buat hati mereka. Besar kemungkin satu hari nanti mereka akan beriman.

Jadi, hendak menyatakan di sini inilah caranya mendirikan sembahyang yang diredai Allah swt.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan