Selasa, 2 April 2024

 Worldview

Apakah yang anda sedang lakukan, adakah yang sedang anda lakukan itu serasi dengan rancangan hidup anda hari ini? Atau, adakah ianya terjadi spontan tanpa sebarang perencanaan?

Adakah yang anda lakukan sekarang ini serasi dengan semangat agama anda, tidak kiralah sama anda seorang Islam, Kristian, Budha, Hindu, dan sebagainya; atau jika anda seorang yang tidak beragama tetapi berfahaman Athies sekalipun adakah anda sedang melakukan sesuatu yang serasi dengan fahaman anda.

Persoalan-persoalan di atas tadi adalah berkait dengan jalan hidup atau cara hidup. Yang anda sedang lakukan itu seharusnya adalah sebahagian daripada rancangan-rancangan yang anda atur berdasarkan kepada sesuatu pegangan atau fahaman. Berkait dengan persoalan di atas tadi, jika anda sedang melakukan sesuatu yang bagi anda adalah mengikut pegangan atau fahaman anda bererti anda adalah seorang yang mempunyai pandangan hidup atau worldview.

Seseorang yang mempunyai worldview adalah orang yang mempunyai pegangan dalam menjalani kehidupan. Tetapi jika anda tidak tahu adakah yang anda lakukan itu atas dasar apa, atau sebab apa, atau untuk apa, betul atau salah, dan sebagainya, bererti anda adalah seorang yang tidak mempunyai pegangan hidup (yang biasa disebut sebagai prinsip). Orang yang sebegini biasanya adalah mereka yang tidak juga mempunyai matlamat hidup.

Seseorang yang mempunyai worldview akan sentiasa sedar terhadap apa sahaja yang sedang dilakukannya – menyedari untuk apakah dia lakukan, betul atau salah yang dia lakukan, apakah kesan perbuatannya, dan sebagainya, dalam ertikata lain, dia adalah orang yang mempunyai prinsip. Bagi orang yang tidak mempunyai kesedaran-kesedaran seperti itu adalah orang yang yang tidak mempunyai worldview, dia adalah seorang tidak berprinsip. Orang yang sebegini akan melakukan apa sahaja yang digerakkan oleh nalurinya, dan biasanya terjadi dalam keadaan yang tidak di bawah petimbangan-pertimbangan seperti contoh tadi. Mereka akan berbuat apa sahaja yang dia mahu, bagaimana sahaja yang dia mahu, dan bila-bila masa sahaja yang di mahu, tanpa memikirkan kesan dan akibatnya dari kacamata manusia sejagat.